Sunday, May 30, 2010

MAHER ZAIN | Thank You Allah


Apabila disebut jenama Maher Zain dalam lapangan industri muzik Malaysia pada hari ini, mungkin ianya terlalu pagi buat pendengar-pendengar muzik di negara kita. Tapi hakikat sebenar jika menurut kacamata dunia hiburan di seluruh Eropah dan Timur Tengah, jenama Maher Zain sudah cukup gah di kalangan mereka. Berbekalkan kehebatan pengawalan vokal dan kemahiran mencipta dan menerbit lagu, Maher Zain dilihat semakin berjaya meluaskan empayar seninya dengan terhasilnya sebuah album yang dianggap cukup sempurna dan realistik yang berjudul ‘Thank You Allah’.

Bernaung di bawah satu syarikat rakaman yang sama dengan penyanyi terkenal Sami Yusuf, Maher Zain mungkin dianggap bertuah kerana album pertamanya telah dijual dengan begitu cepat ke serata dunia dibantu oleh rangka promosi yang meluas dan tersusun oleh Awakening Records. Bakat dan keupayaan Maher Zain dalam penerbitan sesebuah album sudah terbukti sebelum beliau tampil dengan album pertamanya lagi. Sebelum bergelar penyanyi, Maher lebih dikenali sebagai salah seorang penerbit album untuk sebuah syarikat rakaman ternama yang bertapak di New York. Kemahirannya dalam bidang tersebut kini diterjemah dengan baik dalam album solo beliau yang pertama dan hasilnya ketara setanding dengan pengalaman yang beliau miliki.

‘Thank You Allah’ mengandungi 14 trek lagu yang kesemuanya dapat mengikat hati-hati yang mendengarnya. Lagu yang berada di trek ketiga dan kelapan iaitu ‘Insya Allah’ dan Baraka Allahu Lakuma’ merupakan ‘single’ yang semakin popular di negara ini. Begitu juga dengan lagu yang berada di trek keempat dan kesembilan iaitu Palestine Will Be Free’ dan ‘For The Rest Of My Life’, ia bakal menyentuh sanubari anda dan tidak mustahil akan menjadi siulan ramai. Album ini keseluruhannya mengandungi lagu-lagu yang dialunkan dalam bahasa Inggeris dan terdapat juga beberapa buah lagu yang menampilkan bahasa Urdu dan Arab sebagai pelengkap kesempurnaan album ini.

Melihat kepada kehebatan dan sambutan luar biasa terhadap album ‘Thank You Allah’, Inteam Records Sdn Bhd telah bekerjasama dengan Awakening Records untuk memasarkan album tersebut di Malaysia. Kerjasama yang terjalin murni itu secara dasarnya dapat dilihat dapat menyelesaikan masalah kesukaran bagi penggemar-penggemar Maher Zain untuk mendapatkan album beliau di pasaran seluruh Malaysia. Album ini sudahpun berada di pasaran sejak 20 Mei yang lalu dan dijual dengan harga yang berpatutan iaitu RM27.90 bagi format cakera padat. Album ini juga boleh didapati menerusi laman maya www.inteammobile.com sementara stok masih ada. Jangan ketinggalan untuk dapatkan album Maher Zain dan jadikan ia salah satu koleksi pribadi berharga buat anda. Selamat mendengar.

No comments: